Raindrop Therapy (RDT)

Raindrop Therapy or known as Raindrop Technique is an alternative medicinal practice designed to correct imbalances in the body by bringing structural alignment and detoxifying. Nine therapeutic grade essential oils are applied along the spine, whole back, and soles of feet. Moist heat is applied over the oils after they have been massaged into the skin to further penetrate the oils. The session lasts about an hour however the benefits may last up to a week or more.

eNewsletter

 

PERMASALAHAN KETIDAKSEIMBANGAN HORMON

oleh: Rita Omar - IFA Dip. (UK), IFA Certified Aromaterapist

 

MENGENALI HORMON

Hormon adalah sejenis bahan kimia yang dirembeskan ke dalam saluran darah ke tisu-tisu dan organ badan.  Hormon berfungsi secara perlahan pada sepanjang masa.  Fungsi hormon mempengaruhi banyak proses dalam badan termasuk: 

  • Membantu pertumbuhan dan perkembangan tubuh,
  • Mengekalkan kesihatan, berat badan dan paras rupa,
  • Metabolisme badan,
  • Fungsi atau kemampuan seksualiti,
  • Kesuburan; kulit, rambut, penglihatan dan suhu badan,
  • Mempengaruhi emosi (mood), dan
  • Kawalan tahap gula dalam darah.

Hormon dihasilkan di dalam satu kumpulan sel khusus bergelar kelenjar Endokrin (Endocrine glands). Terdapat banyak kelenjar-kelenjar endokrin di dalam badan termasuklah kelenjar pituitary, kelenjar tiroid, kelenjar timus, kelenjar adrenalin dan pankreas.

Tubuh manusia mempunyai pelbagai hormon iaitu hormon estrogen, hormon pertumbuhan manusia, melatonin, pregnenolon, progesteron, testosteron, kortisol, dehidroepiandrosteron (DHEA) dan tiroid.  Setiap darinya mempunyai fungsi unik.

Apabila rembesan hormon berlaku dalam keadaan tidak normal dan bercelaru, ia akan menyumbang kepada pelbagai jenis penyakit di dalam tubuh badan.  Banyak sistem organ termasuk sistem muskuloskeletal, kardiovaskular dan otak boleh terjejas oleh estrogen.

Hormon berfungsi untuk menyelaraskan proses-proses yang penting di dalam tubuh badan. Lazimnya kaum wanita akan kerap menghadapi masalah ini namun kaum lelaki juga tidak terkecuali akan gejala ini.  Kajian menunjukkan bahawa 90% daripada semua isu-isu dan permasalahan wanita bermula dari ketidakseimbangan hormon dalam diri mereka.

Lelaki dan wanita menghasilkan hormon dari tempat yang sama kecuali hormon yang berkaitan dengan organ seksual.  Secara umumnya, hormon estrogen dan progesteron adalah untuk sistem reproduktif wanita yang dihasilkan di ovari manakala hormon testosteron pula untuk lelaki dan dihasilkan di testis.

 

JENIS-JENIS ESTROGEN SERTA PERANAN

Hormon yang dihasilkan oleh tubuh kita dikenali sebagai hormone steroid. Terdapat juga hormon bio-identikal iaitu hormon yang diasingkan daripada tumbuhan, mineral atau sumber haiwan dan kerana itulah ia dianggap sebagai hormon semulajadi dan duplikasi dari hormon steroid.  Hormon yang diberikan oleh doctor pula adalah buatan manusia dan dikenali sebagai hormon sintetik.  Ia dipatenkan seperti ubat-ubatan dan mempunyai kesan yang sama dengan hormon dalaman kita sendiri.  Hormon sintetik ini digunakan untuk terapi hormon gantian (HRT) dan teknologi pembiakan tiruan (ART).  Penggunaan hormon sintetik yang paling biasa digunakan adalah pencegah kehamilan.

Estrogen semulajadi yang dihasilkan dalam tubuh kita terbahagi kepada 3 jenis (juga dipanggil hormon steroid) iaitu:

1.         Estrone (E1) merupakan estrogen yang tak sekuat estradiol. Ia dihasilkan di dalam tisu-tisu lemak. Ia wujud dengan banyak untuk wanita yang telah putus-haid.

2.         Estradiol (E2) atau 17 beta estradiol. Ia dihasilkan di bahagian ovari dan wujud dengan banyak dalam tubuh wanita sebelum wanita itu putus haid. Ia merupakan hormon seks wanita yang utama yang menentukan ciri-ciri seorang wanita. Pembentukan buah dada, pertumbuhan bulu di ketiak dan ari-ari ditentukan oleh hormon ini.  Ia penting untuk proses pembentukan dan menyuburkan dinding rahim dimana ia juga berfungsi untuk mengawal kitaran haid agar tubuh bersedia sepanjang masa untuk kehamilan.

3.         Etsriol (E3) merupakan estrogen yang paling lemah di antara ketiga-tiga hormon-hormon ini dan ia dihasilkan oleh hormon-hormon estradiol dan estrone.

 

Estrogen akan mengalir di dalam darah ke tisu-tisu badan di mana terletaknya reseptor-reseptor estrogen.  Reseptor ini wujud di seluruh badan seperti di otak, faraj, buah pinggang dan lain-lain.  Molekul estrogen akan melekat pada reseptor ini dan menghasilkan tindakbalas pada organ-organ di situ.

Hormon bersifat dominan. Jumlah hormon yang kecil sahaja sudah memadai untuk mencetuskan sebarang perubahan pada tubuh manusia.  Oleh kerana itulah apabila tubuh kita mengandungi terlalu sedikit atau terlalu banyak hormon, ia boleh menyebabkan masalah yang serius pada kesihatan diri.

Apabila berlaku simptom hormon yang tidak seimbang, kita boleh membuat ujian makmal untuk menentukan tahap hormon  melalui ujian darah, air kencing atau air liur. Akibat proses penuaan, pengeluaran estrogen dan progesteron oleh ovari semakin menurun, menyebabkan gejala ketidakseimbangan hormon terjadi.  Faktor penuaan turut mempengaruhi hormon di kalangan wanita dan lelaki, yang lebih dikenali sebagai menopaus (wanita) dan andropaus (lelaki).

 

APA PUNCA HORMON TIDAK SEIMBANG?

Manusia mengalami kemerosotan dalam penghasilan hormone seawal usia 25 – 30 tahun.  Kemorosotan ini menyebabkan penurunan fungsi normal tubuh dan penuaan.  Terdapat pelbagai punca ketidakseimbangan hormon, namun sebahagian besar kes-kes yang dialami disebabkan oleh dominasi hormon estrogen atau jumlah peningkatan estrogen dalam badan dan hormon progesteron yang tidak mencukupi atau rendah.

Punca lazimnya disebabkan oleh pengambilan pil kawalan kelahiran, tekanan, penggunaan kosmetik yang berlebihan, radiasi dan pengambilan produk haiwan serta bukan organik. Lain-lain punca termasuk faktor genetik, obesiti dan tumor. Ada ketikanya ia disebabkan oleh kekurangan senaman atau tiada masa untuk beriadah, kehamilan, penyusuan, diet atau pola pemakanan yang tidak seimbang termasuk mereka yang suka makan makanan segera dan mengamalkan gaya hidup yang tidak aktif.  Di antara kesemua sebab-sebab yang telah dinyatakan, obesiti adalah faktor nombor satu punca ketidakseimbangan hormon manakala hamil pula adalah faktor nombor satu perubahan gaya hidup yang menyebabkan keadaan ini.

Makanan segera boleh menyebabkan obesiti kerana ia mengandungi banyak gula yang akan menyerang insulin sekali gus mempengaruhi paras kortisol, estrogen dan progesteron.  Ia berakhir dengan sindrom metabolik seperti kencing manis, kolesterol tinggi, obesiti dan darah tinggi.

Hormon juga menjadi tidak seimbang semasa mengandung yang boleh menyebabkan emosi si ibu menjadi tidak stabil dan juga boleh menyebabkan berlakunya kencing manis semasa mengandung.

Akibatnya, berlaku gangguan yang menyebabkan komunikasi antara sel melalui hormon menjadi kurang efektif lalu menyumbang kepada mutasi sel. Keadaan itu sekali gus menyebabkan kemerosotan tahap imunisasi.

 

APAKAH SIMPTOM / TANDA-TANDA UMUM

Di antara tanda-tanda umum menunjukkan bahawa anda menghidapi masalah hormon yang tidak seimbang adalah seperti berikut:-

  •  Perubahan perasaan yang tidak menentu (emosi yang tidak stabil) samada di dalam fasa pra-haid atau tidak
  • Selalu cepat marah – sukar mengawal perasaan
  • Cepat merubah fikiran serta perasaan
  • Menangis tanpa sebab tertentu
  • Lesu serta kurang bertenaga
  • Kemerosotan daya ingatan
  • Selalu merasa gelisah
  • Kerap pening kepala
  • Hipoglisemia atau merasa tidak menentu serta tidak bermaya dalam 1 atau 2 jam selepas makan
  • Nafsu makan yang meningkat
  • Sukar untuk menurunkan berat badan atau berat semakin meningkat dengan cepat
  • Masalah kulit seperti mengalami jerawat, kulit kusam, tidak berseri atau kulit berminyak
  • Mengalami ruam-ruam panas serta berpeluh pada waktu malam (hot flashes)
  • Alopesia atau keguguran rambut
  • Hilang minat terhadap seks/libido
  • Hirsutisme atau peningkatan jumlah rambut halus pada tubuh badan atau wajah (misai halus) 

 

RAWATAN MASALAH KETIDAKSEIMBANGAN HORMON

Secara klinikal, masalah ketidakseimbangan hormon boleh diperbaiki atau dirawat dengan menyeimbangkannya melalui rawatan penggantian hormon semulajadi (bio-identical hormone replacement therapy - HRT) dan bukannya hormon sintetik.  Fungsi hormon sintetik mempunyai struktur molekul yang berbeza.  Tubuh manusia boleh menerima pelbagai bendasing namun reaksi dan tindakbalasnya boleh menyebabkan kanser.

Rawatan hormon gantian (HRT) ini dikatakan boleh mengurangkan simptom terutama menopaus dengan berkesan seperti keadaan panas dan kemerahan di muka (hot flushes), kekeringan faraj, masaalah kerap kencing, kencing tidak terkawal dan sebagainya. Ini melibatkan pengambilan ubatan estrogen sahaja atau estrogen dan progestin.

Seboleh-bolehnya kita elakkan daripada pengambilan ubat-ubatan (dadah) dan ubah cara hidup kita dengan memberikan tumpuan kepada senaman, nutrisi pemakanan seimbang dan hormon semulajadi bagi memperbetulkan ketidakseimbangan hormon.

Sains membuktikan manusia boleh lari daripada simptom-simptom penuaan dengan tiga cara iaitu senaman, pemakanan sihat (suplemen) dan menyeimbangkan hormon (seimbangkan hormon dan bukannya dengan ubat).

Pesakit kanser dan mereka yang berisiko kanser perlu lebih berhati-hati apabila mengambil rawatan hormon.  Rawatan hormon bukan dilakukan untuk jangka masa pendek kerana ada segelintir hormon perlu diambil sepanjang hayat. 

 

KETAHUI KETIDAKSEIMBANGAN HORMON ANDA

Jika anda mengesyaki terdapat ketidakseimbangan hormon, anda mempunyai dua pilihan, samada, membuat ujian sendiri dengan membeli ‘kit ujian air liur’ dari farmasi atau pun, berjumpa doktor untuk membuat ujian darah yang komprehensif dan khas untuk melihat paras hormon di dalam tubuh.

Selepas doktor mengenal pasti jenis hormon yang diperlukan, seseorang pesakit itu akan diberikan hormon sama ada dalam bentuk kapsul, pil, suntikan, krim faraj, tampalan ataupun memasukkan alat ‘vaginal ring’ selain diberi nasihat mengenai aspek pemakanan, suplemen antioksidan serta jenis senaman yang perlu dilakukan.

 

RAWATAN ‘HORMONE REPLACEMENT THERAPY (HRT)’

Sebelum anda memulakan rawatan HRT, anda perlu melakukan pemeriksaan dan ujian penilaian perubatan seperti:

  •     Pemeriksaan menyeluruh termasuk payu dara dan pemeriksaan pelvis
  •     Papanicolaou smear
  •     Mammogram
  •     Ujian Profil Lipid
  •     Ujian Tahap Glukosa
  •     Ujian Fungsi Hati

 

KESAN SAMPINGAN HRT?

Kedua-dua hormon yang digunakan dalam terapi hormon gantian (HRT), estrogen dan progestogen, mempunyai kesan sampingan dan perlu dirawat secara individu bagi setiap wanita.  Sesetengah wanita mengalami kesan sampingan semasa peringkat awal rawatan termasuk:

Kesan sampingan ringan:

  • Payu dara sakit bila disentuh
  • Kekejangan
  • Membengkak / sembab
  • Murung
  • Loya dan muntah
  • Sakit kepala
  • Pendarahan dari faraj

 

Kesan sampingan berat:

  • Barah payu dara
  • Serangan sakit jantung
  • Angin ahmar (stroke)
  • Barah rahim bagi pengambilan ubatan ubatan estrogen yang banyak

 

Oleh sebab itu, pesakit yang mengambil rawatan HRT perlu dipantau rapi oleh kakitangan kesihatan yang profesional untuk membolehkan mereka mendapat faedah yang maksima. Apa yang menyedihkan, terdapat kajian yang menyatakan, risiko barah payu dara meningkat mengikut jangka masa pengambilan HRT. 

Menurut Dr. Stephen Brett – Faculty of Medicine, Department of Surgery & Cancer – Imperial College London berkata "Salah satu sebab terbesar wanita mendapat masalah dengan kanser payudara adalah terlalu banyak estrogen terapung di dalam badan mereka".

 

BILA HRT TIDAK SESUAI DIGUNAKAN?

HRT tidak sesuai digunakan kepada:

  •     Ibu yang hamil
  •     Penyakit hati yang aktif
  •     Disyaki mengidap barah payu dara atau rahim
  •     Thrombophlebitis (pembekuan pembuluh darah)

 

Secara umum, kita telah mengetahui bahawa terapi penggantian estrogen adalah rawatan biasa untuk ketidakseimbangan hormon dan lazimnya, hanya estrogen diganti.  Sesetengah pengamal perubatan alternatif seperti Aromaterapis, berpendapat bahawa adalah penting untuk menambah hormon progesteron juga untuk mewujudkan keseimbangan antara estrogen dan progesteron. Sekiranya terdapat terlalu banyak estrogen berbanding progesteron di dalam tubuh, ia boleh menyebabkan kemandulan, sindrom pra-haid, masalah haid, berat badan dan kemungkinan risiko peningkatan kanser payudara.

 

AROMATERAPI – PENDEKATAN ALTERNATIF

Sekiranya anda bimbang akan kesan sampingan rawatan "hormon replacement therapy" (HRT) ataupun hormon sintetik dari doktor perubatan, selain menjaga diet dan senaman, anda boleh mencuba kaedah rawatan alternatif Aromaterapi dengan menggunakan rawatan  semulajadi dari minyak pati tumbuh-tumbuhan.

Satu fakta yang kurang diketahui umum di mana penggunaan minyak pati telah digunakan selama beribu-ribu tahun lamanya mampu melega atau mengurangkan gejala-gejala ketidakseimbangan hormon tanpa kesan-kesan sampingan yang digeruni oleh semua.

Minyak pati mampu mempengaruhi sistem endokrin wanita dengan merangsang aktiviti di dalam sel-sel tertentu otak di mana terdapat molekul-molekul yang begitu halus yang menembusi ke dalam sel-sel badan dan memberi sifat-sifat penyembuhan.

Oleh kerana minyak pati mempunyai ciri-ciri yang boleh merangsang sel-sel untuk mengembalikan fungsi semulajadi dalaman tubuh, ia juga mampu membantu menyeimbangkan masalah kesihatan dan menunjukkan tindak balas positif supaya tubuh  dapat berfungsi seperti yang sepatutnya. Bagaimana ia melakukannya masih belum dapat diperjelaskan oleh dunia sains.

Sesetengah minyak pati dicatatkan mempunyai sifat estrogenik di mana molekul di dalam minyak pati mempunyai keupayaan untuk meniru hormon, merangsang tapak reseptor hormon dan juga bertindak sebagai ‘bahan’ yang diperlukan oleh badan manusia untuk mencipta atau mencetuskan molekul hormon tersebut dan seterusnya menyokong sistem endokrin bagi membantu menyeimbangkan hormon.

Lazimnya Aromaterapis akan memberi rawatan aromaterapi berbeza kaedah seperti urutan, penyedutan, secara peruwapan, mandian, tuaman atau di sapu terus ke atas kulit.

Berikut antara beberapa minyak pati yang biasa digunakan yang mempunyai ciri-ciri untuk merawat gejala ketidakseimbangan hormon:

 

  • Ylang-ylang dan Lavender mempunyai kesan menenangkan dan juga untuk mengatasi kebimbangan, melegakan kesakitan dan mengurangkan perubahan emosi / mood;
  • minyak pati seperti Bergamot (limau gedang), Lemon, Lime (limau), Oren, Peppermint (pudina) dan Ginger (halia) untuk merangsang mood dan minyak pati Cypress membantu mengurangkan ‘hot flashes’
  • Ginger, Peppermint dan Nutmeg (buah pala) untuk memberi tenaga bagi melawan keletihan
  • Sesetengah minyak pati yang mempunyai sifat yang serupa seperti estrogen termasuk – Clary Sage, Sage, Geranium dan Fennel, selalunya diguna dalam urutan. Minyak pati Geranium sebagai contoh telah digunakan beribu-ribu tahun dahulu dalam perubatan tradisional seperti Ayurveda untuk mengimbangi sindrom prahaid, sindrom menopaus, sembelit, insomnia, kegelisahan, ketakutan, keresahan dan juga mengatasi kebimbangan
  • Minyak pati Patchouli dan Cardamom adalah minyak yang sedatif untuk mengurangkan perubahan emosi dan cepat marah.

 

SALAM HORMAT DARI SAYA

Kita perlu mengambil pendekatan “pencegahan adalah lebih lebih baik dari mengubati”.  Kita boleh mengambil pendekatan proaktif dengan makan makan buah-buahan dan sayur-sayuran organik tanpa penggunaan bahan kimia berbahaya seperti racun perosak, racun herba dan baja sintetik (lebih baik yang tanam sendiri), menggunakan produk penjagaan diri termasuk alat solek dari bahan semulajadi, elakkan bahan pengawet makanan dan pewarna, elakkan penggunaan plastik dan aluminium atau alat memasak yang bersalut. Minum banyak air (lebih baik air tapisan) bagi menjaga tubuh anda dari terhidrat untuk memudahkan proses penyingkiran toksin dari sistem limfa serta banyak melakukan aktiviti yang mengeluarkan peluh atau bersenam.

Saya bukanlah seorang pakar terapi hormon tetapi saya amat tertarik untuk mengetahui dengan lebih mendalam akan masalah ketidakseimbangan hormon yang sering dihadapi oleh saya sendiri dan kaum hawa yang lain.  Oleh yang demikian, saya terpanggil untuk membuat penyelidikan peribadi dan ingin berkongsi maklumat ini bersama anda.  

Harapan saya agar anda semua akan mendapat faedah daripada maklumat ini, samada dengan cara mencegah atau mengambil langkah-langkah untuk merawat ketidakseimbangan hormon yang anda alami. Dan, perkara yang baik ini perlu dikongsi bersama dengan keluarga dan juga rakan-rakan anda jika anda rasa ia boleh membantu menyelesaikan masalah mereka.

Apapun, usah biarkan ketidakseimbangan hormon membelenggu hidup anda.

Rahmat kepada semua, Rita Omar.

 

Nota:

Hak cipta 2013 oleh Rita Omar

Hak Cipta Terpelihara

Tiada bahagian daripada ebook ini boleh diterbitkan semula atau disiarkan dalam

sebarang bentuk dengan apa-apa cara elektronik atau mekanikal, termasuk fotokopi, rakaman atau dengan apa-apa storan maklumat dan sistem dapatan semula, tanpa kebenaran bertulis daripada penulis kecuali kemasukan petikan ringkas dalam kajian.

 

 

Thursday the 21st. Copyright © 2017 RITZHACA All rights reserved.